Jumaat, 12 Disember 2014

Gejala Sakit Sendi @ Osteoartritis


Punca osteoartritis


OA juga dikenali sebagai artritis degeneratif. Di antara lebih daripada 100 jenis artritis yang berbeza keadaannya, OA paling kerap terjadi membabitkan 10 hingga 20 peratus orang dewasa di Malaysia.

OA lebih kerap terjadi dengan peningkatan usia; bagi lelaki masalah biasanya bermula sebelum 45 tahun dan selepas 55 tahun bagi wanita. Insiden yang lebih tinggi berlaku pada penduduk Jepun manakala orang kulit hitam Afrika Selatan, India Timur dan selatan China mempunyai jumlah insiden yang rendah.


Kenapa ia terjadi?

OA primer berlaku disebabkan proses penuaan. Apabila meningkat tua, kandungan air di dalam tulang rawan berkurangan dan protein yang membentuk tulang rawan itu akan merosot, menyebabkan permukaan tulang rawan menggelupas dan merekah lalu membentuk alur halus. Dalam kes yang serius, tulang rawan yang melitupi sendi rosak teruk sehingga mendedahkan tulang yang membentuk persendian berkenaan.

Penggunaan berulang kali sendi yang haus selama beberapa tahun boleh menyebabkan radang berlaku pada tulang rawan dan sendi menjadi bengkak serta sakit. Kerosakan tulang rawan menyebabkan tulang sendi bersentuhan dan bergeseran. Ia membuatkan rasa sakit dan mengehadkan pergerakan sendi. Radang yang berlaku juga merangsang pembentukan tulang baru (taji, juga disebut sebagai osteofit) di sekeliling sendi.

OA sekunder pula disebabkan penyakit atau keadaan lain seperti obesiti, trauma berulang dan pembedahan ke atas struktur dalam sendi, kecacatan kongenital (sejak lahir), gout dan kencing manis. Obesiti menyebabkan OA dengan meningkatkan tekanan mekanikal kepada tulang rawan. Pada usia emas, obesiti menjadi faktor risiko paling kuat untuk OA sendi sendi lutut.

Kejadian OA sendi lutut di kalangan atlit angkat berat dipercayai sebahagiannya disebabkan bebanan berat badan yang tinggi. Trauma berulang pada tisu sendi (ligamen, tulang, dan tulang rawan) diyakini menyebabkan OA lutut awal di kalangan pemain bola sepak. Bagaimanapun, risiko OA sendi lutut tidak meningkat di kalangan atlit pelari jarak jauh.

Sesetengah orang lahir dengan sendi tidak normal (ketidaknormalan kongenital) membuatkan tulang rawannya cepat haus, mengalami degenerasi awal dan kehilangan tulang rawan sendi. OA sendi pinggul selalunya dikaitkan dengan kecacatan struktur sendi pinggul yang terjadi sejak lahir.

Gangguan hormon seperti diabetes dan hormon pertumbuhan tidak teratur juga dikaitkan dengan kehausan awal tulang rawan dan OA sekunder.


Gejala OA

Tidak seperti radang sendi lain yang disebabkan penyakit sistemik seperti artritis reumatoid dan lupus, OA tidak memberi kesan pada organ lain dalam badan. Gejala yang paling kerap dialami adalah sakit pada sendi yang terbabit selepas digunakan. Sakit ini biasanya paling teruk pada lewat petang atau malam. Sendi akan bengkak, berasa panas dan berkeriut bila digerakkan.

Sendi juga berasa kaku dan sakit apabila pesakit hendak digerakkan setiap kali selepas berehat. Dalam kes OA yang teruk (tulang rawan rosak keseluruhannya dan menyebabkan tulang persendian bergeseran sesama sendiri), pesakit akan sentiasa berasa sakit walaupun ketika berehat dan pergerakan sendi selalunya terhad.

Gejala OA boleh berbeza antara pesakit. Sesetengah pesakit menjadi lesu atau lemah disebabkan sakit sendi tetapi ada yang hanya menunjukkan gejala ringan sekali sekala walaupun ujian sinar-X pada sendi mereka menunjukkan kerosakan yang teruk.

Malah gejala ini juga mungkin ‘hilang’ dan tidak menyebabkan rasa sakit selama beberapa tahun di kalangan pengidap OA pada sendi jari tangan dan lutut.

OA sendi lutut selalunya berkait dengan obesiti, sejarah kecederaan lutut berulang dan pembedahan. Keadaan ini menyebabkan kerosakan degenerasi tulang rawan sendi lutut yang berterusan sehingga kaki menjadi bengkok (dipanggil ‘bowlegged’ dan pesakit berjalan terhincut-hincut.

Pada sesetengah pesakit gejala sakit, jalan terhincut dan sendi yang tidak berfungsi tidak lagi boleh dirawat dengan ubat dan secara konservatif. Inilah sebabnya OA yang teruk adalah antara alasan untuk pembedahan ganti sendi keseluruhan.

OA yang terjadi pada sendi kecil seperti jari tangan dan kaki selalunya menyebabkan pembentukan bonjolan tulang di sekitar sendi berkenaan. Bonjolan tulang klasik pada sendi hujung jari tangan ini dikenali sebagai nodul Heberden sempena nama seorang doktor Britain yang terkenal.

Bonjolan lain yang biasa terdapat pada sendi tengah jari yang terkena OA ialah nodul Bouchard (doktor Perancis yang terkenal dalam kajian penyakit radang sendi dalam lewat 1800-an).

Nodul Heberden dan Bouchard selalunya tidak berasa sakit tetapi pergerakan sendi yang terbabit kebanyakannya terhad. Ciri ini membantu dalam membuat diagnosis. OA pada sendi ibu jari kaki selalunya membentuk bonjolan tulang yang dipanggil bunion dan ia kerap menyebabkan kesakitan apabila bergesel dengan kasut ketika berjalan.


Rawatan

Selain penurunan berat badan dan mengelak daripada melakukan aktiviti lasak yang memberi tekanan berlebihan pada tulang rawan sendi, tidak ada rawatan khusus untuk memberhentikan degenerasi tulang rawan atau membaikpulih tulang rawan yang sudah rosak akibat OA. Matlamat dalam rawatan OA adalah untuk meredakan sakit dan radang sekitar sendi serta mengekalkan fungsi sendi berkenaan.

Sesetengah pesakit OA mempunyai sakit yang sangat minimum dan tidak memerlukan rawatan perubatan. Sesetengahnya pula mendapat keuntungan daripada teknik rawatan konservatif seperti rehat, latihan, kawalan diet dengan penurunan berat badan, terapi fizikal, terapi pekerjaan dan penggunaan peralatan sokongan mekanikal. Langkah sangat penting sekiranya sendi lutut yang sakit.

Bahkan penurunan berat badan yang sederhana sudah cukup untuk membantu mengurangkan gejala OA sendi lutut. Ubat yang digunakan adalah untuk melengkapkan langkah fizikal seperti disenaraikan di atas.

Ubat boleh digunakan secara topikal, diminum atau disuntik ke dalam sendi untuk mengurangkan keradangan dan sakit. Jika langkah konservatif gagal mengawal rasa sakit dan memperbaiki fungsi sendi, maka doktor akan mencadangkan pembedahan.

Latihan selalunya tidak memburukkan OA jika dilakukan pada tahap yang tidak menyebabkan rasa sakit. Latihan jasmani boleh membantu pesakit dengan beberapa cara:

  • Latihan menguatkan sokongan otot sekeliling sendi. Ia juga mencegah sendi menjadi kaku, meningkat dan mengekalkan mobiliti sendi. Ia juga membantu menurunkan berat badan dan meningkatkan daya tahan badan.

  • Menyapu minyak panas sebelum dan menerap bungkusan sejuk selepas latihan boleh menolong mengurangkan sakit dan radang. Berenang adalah latihan yang sangat sesuai untuk pesakit OA kerana ia membenarkan pesakit melakukan latihan dengan impak tekanan minimum terhadap sendi lutut. Latihan popular lain termasuk berjalan kaki, berbasikal pegun dan latihan ringan.

    Pakar terapi fizikal boleh menyediakan peralatan sokongan seperti alat pemegang anggota (splint), tongkat dan alat bantuan berjalan untuk mengurangkan tekanan pada sendi. Pakar pemulihan pekerjaan boleh menilai keperluan aktiviti harian dan mencadangkan peralatan tambahan yang boleh membantu pesakit di rumah atau tempat kerja.

    Dalam kebanyakan kes, ubat tahan sakit seperti acetaminophen sudah mencukupi. Ia jarang menyebabkan kesan sampingan pada perut dan biasanya ia menjadi ubat pilihan awal merawat pesakit tua. Ubat untuk merehatkan otot yang kejang boleh juga diberikan untuk sementara.

    Krim penghilang sakit seperti methyl salicyte juga boleh disapukan untuk menghilangkan sakit yang sedikit. Rawatan lain termasuk losen anti radang, diclofenic (gel Voltaren) dan tampalan diclofenac.

    Ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen dan naproxen digunakan untuk mengurangkan sakit dan radang dalam sendi. Kesan sampingan yang paling kerap terjadi adalah gangguan usus dan perut seperti gastrik, cirit-birit, ulser dan perdarahan. Kesan sampingan lain bertambah pada pesakit tua. Ubat terbaru dipanggil COX-2 inhibitors dapat mengurangkan kesan toksik kepada perut dan usus. Sebaiknya ubat ini diambil ketika hendak melakukan aktiviti atau selepas melakukan aktiviti yang kebiasaannya menyebabkan rasa sakit.

    Rawatan alternatif menggunakan makanan tambahan seperti glukosamine dan chondroitin boleh mengurangkan sakit dan sendi kaku. Ia boleh didapati di farmasi tanpa preskripsi doktor. Kajian awal menunjukkan penggunaan makanan tambahan ini memberi kesan sedikit dalam menghilangkan kesakitan pada OA yang teruk.

    Pesakit yang mengambil ubat pencair darah perlu berhati-hati apabila mengambil chondroitin kerana ia boleh mencairkan lagi darah dan menyebabkan pendarahan. Minyak ikan tambahan terbukti mempunyai kesan anti radang dan pengambilan yang banyak mampu mengurangkan radang dalam sendi.

    Untuk kes yang tidak dapat dirawat dengan fisioterapi dan ubat, suntikan asid Hialuronik ada kalanya boleh membantu, terutama jika belum menjalani pembedahan. Ia berfungsi secara sementara dengan meningkatkan kualiti cecair sinovial, menambahkan pelincir dalam sendi dan meningkatkan kemampuan kesan impak pada permukaan sendi.

    Pembedahan hanya dilakukan pada pesakit yang mengidap OA yang sangat teruk dan tidak menunjukkan kesan dengan rawatan konservatif. Pembedahan artroskopik dilakukan apabila terdapat kecederaan tulang rawan. Pembetulan Osteotomi adalah pembedahan yang boleh menegakkan semula jajaran sendi lutut. Pembedahan penggantian sendi keseluruhan boleh menghilangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi lutut.

  • Cadangan Supplemen Untuk Mengatasi Masalah Sakit Sendi

    elauladhouse.blogspot.com / 017-9040142-ieta

    ##ieta##017-9040142
    SID 882012

    Sumber Artikel:Harian Metro

    ------------------------------------------------------
    Jom Sihat dan Berjaya, sertai kami... Berminat??? Hubungi kami : ;)
     Rakan Shaklee Anda 
    Marzita binti Zakaria
    # ummi Els @ ieta # 
    Pengedar Sah Shaklee Malaysia 
    Khidmat Pos Seluruh Malaysia
     COD Temerloh, Mentakab,
    Sg Tekam,Bandar Jengka,Chini & Chini Timur ( hujung minggu )
    Shaklee ID [ No : 882012 ]
    call/sms/whatsapp/telegram : 017-9040142
    email : ietas32@yahoo. com
    fb page : Els Aulad House
     fb : https://www.facebook.com/marzita.zakaria.7

    0 ulasan:

    Catat Ulasan